Banner

Minggu, 02 Oktober 2011

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN



Latarbelakang

     Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran
    di  kalangan  pemimpin  dan  rakyat  Malaysia tentang betapa
    mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk
    mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi  kehendak
    negara.  Atas  kesedaran  inilah lahir satu Dasar Pendidikan
    (Pelajaran)  Kebangsaan  melalui  Penyata  Razak  1956   dan
    dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957.  Dasar pendidikan
    ini  telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan
    Laporan Rahman Talib.  Laporan  Rahman  Talib  ini  kemudian
    dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
    Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam
    tahun  1974  untuk  mengkaji  semula Dasar Pendidikan dengan
    tujuan  untuk  memperbaiki  pelaksanaannya  supaya  matlamat
    untuk   melahirkan  satu  masyarakat  yang  bersatupadu  dan
    berdisiplin serta  memenuhi  keperluan  tenaga  rakyat  yang
    terlatih  bagi  pembangunan  negara  dapat  dicapai. Laporan

     Jawatankuasa  ini  telah  diterbitkan  dalam   tahun   1979.

Rasional

     Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa
    mengambilkira   kepada  keperluan  pembangunan,  pembentukan
    identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem  Pendidikan
    berkenaan  mengekalkan  tumpuan  taat setia rakyat pendatang
    dan keturunan mereka kepada negara asal mereka  dan  menekan
    suppress  semangat  pembangunan  rakyat tempatan. Sistem ini
    mungkin secocok dengan Tanah  Melayu  yang  terjajah  tetapi
    apabila  Tanah  Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi
    sesuai. Oleh itu,  langkah-langkah  diambil  bagi  menggubal
    satu  sistem  pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara
    yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.


Objektif

     Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada  Akta
    Pelajaran, 1961, iaitu:


     "BAHAWASANYA  dasar  pelajaran  seperti  yang  diisytiharkan
    dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah  untuk  menubuhkan  satu
    sistem  pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara
    dan menggalakkan perkembangan kebudayaan,  sosial,  ekonomi,
    dan politiknya..."  Objektif ini dinyatakan secara am tetapi
    dalam   melaksanakannya,   Kementerian   Pendidikan   dengan
    berpandukan kepada Penyata Razak  1956  dan  Laporan  Rahman
    Talib  1960,  telah  mentafsirkannya  sebagai menyatupadukan
    kanak-kanak sekolah berbilang kaum  dan  menyediakan  tenaga
    kerja  ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan
    Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
    Seterusnya,  objektif-objektif   ini   diperkhususkan   lagi
    apabila  Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya
    ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar  Pendidikan
    diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini
    dalam  jangka  panjang  dan pendek dan melahirkan masyarakat

     yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.
    Falsafah Pendidikan  Negara  yang  diasaskan  kepada  hasrat
    serta  aspirasi  negara dan dinyatakan secara bertulis baru-
    baru ini memberi penekanan  kepada  usaha  melahirkan  insan
    yang  berilmu  dan  berakhlak,  seimbang  dan harmonis, yang
    boleh mencapai  kesejahteraan  diri  dan  memberi  sumbangan
    kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini
    menjadi  satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.


Strategi Pelaksanaan

     Beberapa strategi  telah  digubal  untuk  mencapai  matlamat
    Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:


     (a) Menjadikan  Bahasa  Kebangsaan  sebagai bahasa pengantar
        yang utama;
    (b) Mengadakan  kurikulum  yang  sama  dan   berorientasikan
        Malaysia bagi semua jenis sekolah;
    (c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
    (d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
    (e) Meningkatkan  mutu   pendidikan   keseluruhannya  dengan
        menyediakan  pendidikan  yang  menyeluruh, seimbang  dan
        bersepadu;
    (f) Mengadakan  peluang  pendidikan  asas  selama   sembilan
        tahun;
    (g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi  peluang  dan  mutu
        dengan  mengagihkan  peruntukan  secara adil dan memberi
        perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik
        dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
    (h) Menyediakan pendidikan rendah  mengikut  Kurikulum  Baru
        Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu  membaca,
        menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada
        kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)  pada  tahun

         1989.  Matlamat  utama  kurikulum  baru ini adalah untuk
        melahirkan  individu   yang  seimbang  dari  segi   ilmu
        pengetahuan dan  kemahiran  yang  sesuai  dan  mempunyai
        moral serta nilai etika yang kukuh;
    (i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan  Teknik  melalui
        penyusunan  semula  kurikulum  Sekolah  Vokasional  pada
        tahun 1978;
    (j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan  di
        peringkat  universiti   terutama  dalam  bidang  sastera
        gunaan dan sains gunaan;
    (k) Mempertingkatkan   pendidikan  kerohanian,   moral   dan
        disiplin;
    (l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai
        mata pelajaran yang wajib diajar  di sekolah-sekolah dan
        memberi  peluang  yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-
        bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan
    (m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
        seperti  pasukan-pasukan kadet  tentera,   kadet   polis,

         pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

     Di  samping  strategi  ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga
    dilaksanakan  dengan  mengada  dan  memperkembangkan  tenaga
    pengajar  yang  terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah
    selaras  dengan  pertambahan  kanak-kanak.  Di  Kementerian/
    Jabatan  Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa
    yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan  oleh  Dasar
    Pendidikan  Kebangsaan  telah  ditubuhkan  atau diperkuatkan
    bagi memastikan tercapainya  hasrat  Dasar  Pendidikan  ini.
    Diantaranya  termasuklah  penubuhan Bahagian Perancangan dan
    Penyelidikan  Pendidikan,  Bahagian  Pelajaran  Teknik   dan
    Vokasional,  Jawatankuasa  Pusat  Kurikulum, Biro Buku Teks,
    Majlis   Sukan   Sekolah-sekolah   Malaysia,    Jawatankuasa
    Perancangan   Pendidikan,   Bahagian  Perkhidmatan,  Sebaran
    Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.


Penutup

     Dasar  Pendidikan  Kebangsaan  sememangnya  dapat  menampung
    keperluan-keperluan negara buat masa  ini  dan  masa  depan.
    Selaras dengan  hasrat  negara  untuk  mencapai tahap negara
    perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan  pendidikan
    secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang
    tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan
    sebagainya.  Oleh  itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi
    keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi  juga  dari
    segi  kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih
    ramai  rakyat  yang  terlibat  secara  aktif  dalam   bidang
    keusahawanan   dan   tidak   bergantung  semata-mata  kepada
    kerajaan untuk mencari  kerja.  Ini  adalah  selaras  dengan
    dasar  kerajaan  semasa  yang  menekankan  penyertaan swasta
    secara aktif.



Sumber : Kementerian Pendidikan


Tidak ada komentar:

Posting Komentar